Resepi ayam masak lemak cili api kali ni aku nak share sebab aku suka makan dia. Sebab apa sedap di makan? Sebab dia pedas. Bukan sikit-sikit punya pedas. Tapi boleh sampai meleleh peluh.
Ayam masak lemak cili api ni jugak boleh dijadikan makanan untuk santapan tengah hari bersama keluarga. Aku sangat pasti ramai rakyat Malaysia ni suka makan makanan pedas kan. So why not kita try resepi baru bagi yang belum pernah mencubanya kan.
Nak beli kat kedai susah juga nak dapat makanan ni. Ada sesetengah negeri je yang banyak jual di kedai-kedai makanan seperti Negeri Sembilan. Di sana memang terkenal dengan masakan masak lemak cili api ni kan. Kalau nak makan sendiri boleh la masak dengan adanya resepi ni.
Kalau untuk dijadikan makanan berbuka puasa aku tak sarankan sangat la sebab ayam masak lemak cili api ni pedas. Takut perut tak tahan pulak. Kang tak memasal nak solat Tarawih lepas berbuka puasa jadi memeras perut dalam tandas pulak kan. Jagalah kesihatan di sepanjang bulan Ramadhan yer.
Untuk resepi yang aku nak share ni aku nak jadikan dia resepi mudah dilakukan dan mudah difahami supaya orang yang tak reti masak pun boleh masak dengan sedap. Aku juga sediakan tips menarik dalam resepi masakan ni. Susah la masakan korang tu nak jadi tak sedap. Mesti kena sedap.
Tips: Ayam masak lemak cili api sedap di makan ketika tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk kerana rasa pedasnya sangat terasa ketika suhu suam-suam sahaja.
Resepi ayam masak lemak cili api
Penyediaan resepi ayam masak lemak cili api ni mudah je. Bahannya juga tidak terlalu banyak dan senang nak dapat di pasaraya atau kedai berdekatan dengan rumah anda. Harga untuk membeli bahan-bahan ayam masak lemak cili api ni juga tidak terlalu mahal sekitar RM30 sahaja dan boleh untuk di makan untuk satu keluarga 4 orang.
Ayam Masak Lemak Cili Api
Equipment
- Pisau potong ayam, sayur, bahan-bahan masak
- Kuali sederhana besar/periuk sederhana besar
- Sudip
- Sendok
- Dapur gas
Ingredients
- 1 Ekor Ayam Di potong 8 atau 16 ikut citarasa anda
- 1 Biji Kelapa parut Perahan santan pekat dan cair hendaklah diasingkan. Tips: Santan pekat adalah perahan santan pertama & santan cair adalah perahan santan kedua.
- 1 Sudu Garam
- 1 Keping Asam keping
- ½ Helai Daun kunyit Di hiris halus
- 8 Biji Cili api hijau Kalau dapat cili api kampung lebih pedas
- 8 Biji Cili merah Kalau dapat cili merah Pakistan lebih padu
- 2 Potong Kunyit hidup Di potong saiz ibu jari
- 1 Ulas Bawang merah
Instructions
- Ayam yang sudah dipotong mengikut cita rasa anda di gaul dengan garam dan di perap selama 1 jam. Tabur sedikit serbuk kunyit pada perapan ayam supaya ia tidak kelihatan pucat.
- Sementara menunggu ayam selesai di perap, sediakan bahan-bahan untuk ditumbuk. Bahan-bahannya adalah cili api hijau, cili merah, kunyit hidup dan bawang merah.
- Tumbuk bahan-bahan ini sehingga lumat selumat-lumatnya. Tips : hiris halus bahan yang nak ditumbuk terlebih dahulu supaya mudah untuk ditumbuk sehingga lumat.
- Tanpa menggunakan minyak, masukkan ayam yang sudah siap di perap ke dalam kuali dan nyalakan api perlahan.
- Gaul ayam di dalam kuali sehingga ia nampak kering sedikit. Anggaran masa dalam 3-5 minit.
- Masukkan bahan yang sudah di tumbuk lumat ke dalam kuali. Gaul ayam dan bahan tadi sehingga sebati. Aggaran masa 3 minit.
- Masukkan santan cair ke dalam kuali dan besarkan api masakan. Gaul bahan-bahan ni sehingga sebati.
- Panaskan sehingga mendidih.
- Masukkan asam keping ke dalam kuali.
- Selepas ayam menjadi empuk, masukkan hirisan daun kunyit ke dalam masakan anda. Tips: ayam dikatakan empuk apabila keadaan ayam nampak gebu.
- Masukkan santan pekat dan kacau sehingga sebati kesemua bahan dalam kuali.
- Panaskan dalam 5 min lagi dan tutup api masakan.
- Rasa masakan anda. Jika kurang masin tambahkan garam. Jika terlalu pekat tambahkan sedikit air masak.
- Ayam masak lemak cili api sedia untuk dihidangkan untuk seisi keluarga.